Pendidikan Jamil Osman

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kepala Batas, Kedah selama lima tahun dan selama satu tahun di Sekolah Kebangsaan Padang Garong, Kota Baharu, Kelantan.

Pada tahun 1962, telah terpilih sebagai salah seorang pelajar terbaik seluruh negeri Kelantan dan ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh iaitu Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), Seremban, Negeri Sembilan. Menuntut di sekolah tersebut selama enam tahun.

Pada tahun 1969, berjaya memasuki Institut Teknologi MARA (ITM) untuk mengikuti kursus Statistik selama empat tahun dan kemudian dihantar atas biasiswa MARDI untuk meneruskan pelajaran di bidang yang sama ke England selama dua tahun.

Sekembalinya dari England ditugaskan sebagai Pegawai Penyelidik di MARDI, Serdang selama satu tahun, kemudian ditugaskan pula sebagai Pensyarah ITM selama tujuh tahun. Dalam tempoh tersebut, ITM telah menawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana dalam bidang ‘Applied Statistics’ di Western Michigan University, USA dari tahun 1979 hingga 1981.